Ketika Imam Al Ghazali berkumpul bersama murid-muridnya, lalu beliau bertanya;
“Apa yang paling hampir dengan kita di dunia ini?”. Ada
murid-muridnya menjawab orang tua, guru, teman dan kaum kerabat. Semua
itu benar kata Imam Ghazali tetapi yang paling hampir dengan kita adalah
“mati” (Ali Imran : 185) kerana janji Allah SWT bahawa setiap yang
bernyawa pasti mati.
“Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”. Pertanyaan kedua
Iman Ghazali. Ada yang menjawab negara China, matahari, bulan, dan
bintang-bintang. Benar kata Imam Ghazali, lalu Iman Ghazali menjelaskan
yang paling jauh adalah “masa Lalu” kerana walau apapun kenderaan kita,
kita tetap tak boleh kembali ke masa lalu. Jagailah hari-hari kita.
“Apa yang paling besar di dunia ini?”, Iman Ghazali bertanya lagi.
Ada yang menjawab matahari, gunung dan bumi. Semua jawapan itu benar
kata Imam Ghazali. Namun yang paling besar di dunia ini adalah
“nafsu”(Al A’Raf : 179). Hati-hati dengan nafsu besar diri kita, agar
jangan terjerumus ke neraka.
“Apa yang paling berat di dunia ini?”, pertanyaan seterusnya dari
Iman Ghazali. Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Benar, kata Imam
Ghazali tetapi yang paling berat adalah “memegang amanah” (Al Ahzab :
72). Semua makhluk lain tidak berkesanggupan ketika Allah SWT meminta
mereka untuk menjadi khalifah di dunia ini. Manusia tetap menyanggupi
permintaan Allah SWT untuk memegang amanah. Namun terlampau ramai yang
cuai memegang amanah berat pada diri masing-masing sehingga boleh
terjerumus ke neraka.
“Apa yang paling ringan di dunia ini?”, pertanyaan kelima Imam
Ghazali. Ada yang menjawab angin, debu, kapas dan daun-daun. Semua itu
benar kata Imam Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah
“meninggalkan solat”. Gara-gara kesibukan kita, mudah untuk kita
meninggalkan solat.
“Apakah yang paling tajam di dunia ini?”, pertanyaan terakhir Imam
Ghazali. Serentak murid-murinya menjawab, pedang. Benar kata Imam
Ghazali, tetapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Ini kerana
melalui lidah, mudah bagi manusia melukakan saudaranya sendiri. –
Wallahua’lam…
No comments:
Post a Comment