CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Besday

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers

^______^

30 March 2012

Khutbah hari ni...Salam Jumaat


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
                                             MANUSIA BERHATI SYAITAN                                                              
(30 MAC 2012 / 7 JAMADILAWWAL 1433H)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan ketakwaan yang tidak main-main tetapi ketakwaan yang bertanggungjawab membawa kita memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah: MANUSIA BERHATI SYAITAN .
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam menghadapi kehidupan yang serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak mendapat nur hidayah petunjuk, mereka mengganggap kebenaran itu bagaikan ranjau-ranjau yang berduri, sebaliknya mereka merasakan bahawa kesesatan  atau kekeliruan bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga yang berwarna warni. Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya kehidupan mereka kerana telah dipengaruhi oleh musuh Allah SWT iaitu Syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Syaitan atau Iblis merupakan makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi  ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 19:
Maksudnya: Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu orang yang rugi.
         
          Menurut Ulama, Syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan ke arahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun  masih ada manusia yang menurutnya dan meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk rayu Syaitan.
Antara amalan Syaitan ialah melakukan kezaliman dan pengkhianatan kepada umat manusia, Syaitan melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak ke arah keburukan dan kekejian. Manusia yang zalim iaitu yang berhati kejam, mereka tidak merasa takut kepada Allah SWT dan perbuatan mereka melanggar hukum-hukum Allah. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk Syaitan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Manusia yang berhati Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah kederhakaan kepada Allah SWT. Sayidina Ali RA berkata: “yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.” Mimbar ingin menegaskan bahawa mereka yang dikuasai oleh Syaitan, sebenarnya kebatilan  telah menguasai hati mereka dan menyangka bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut Syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.Masyaallah.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam usaha menjadikan manusia itu sebagai pengikutnya, maka sudah menjadi kebiasaan Syaitan melakukaan kefasadan, memusuhi anak Adam,  mendatangi anak Adam dari sebelah kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Sentiasa mencari cari peluang untuk menghasut, menyesat dan menakutkan manusia. Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam Neraka. Sayidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam Syurga dan menjauhkan daripada api Neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda:
Bermaksud: Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan Syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)
Bagi menghindari dari Syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telinga, hati dan segala anggota, membuang amalan-amalan Syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya Syaitan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar mengingatkan bahawa dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang berhatikan Syaitan atau dengan kata lain menjadikan Syaitan sebagai saudara mereka. Apabila Syaitan menguasai diri manusia, mereka sudah tidak merasa takut untuk melakukan apa saja termasuklah perbuatan di luar batas kemanusian.  Lihatlah sahaja apa yang berlaku pada masa kini seperti perbuatan membunuh kanak-kanak kecil yang tidak berdosa, bahkan bukan setakat dibunuh tetapi kanak-kanak tersebut di dera, disiksa dengan begitu kejam serta dibakar. Malah pada hari ini juga ada orang-orang tua yang menjadi mangsa kepada saudara mara sendiri seperti dibiarkan terabai dan diperlakukan dengan begitu kejam. Kita juga menyaksikan pada hari ini bagaimana rakusnya nafsu manusia yang dikuasai oleh Syaitan seperti kes sumbang mahram, bapa merogol anak sendiri, kes isteri curang sehingga bersekedudukan, kes pembuangan bayi yang tiada kesudahannya dan lain-lain lagi. Mimbar ingin menyatakan bahawa perbuatan ini berlaku kerana diri dan hati manusia yang bertindak kejam itu sebenarnya telah dikuasai oleh Syaitan laknatullah. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kejadian-kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes-kes jenayah, pembunuhan, penindasan  sesama manusia, membunuh diri dan melakukan kejahatan, kezaliman  keatas makhluk-makhluk Allah adalah perbuatan yang dipengaruhi Syaitan. ketahuilah bahawa mereka yang menjadikan nafsu dan Syaitan sebagai petunjuk kehidupan akan menemui kegagalan akhirnya. Mereka sentiasa resah kerana sentiasa diburu rasa bersalah, bukan sahaja kepada Allah SWT tetapi juga kepada diri sendiri. Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak mereka akan di azab dengan api neraka yang amat pedih.  Mimbar menyeru marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menutup segala pintu Syaitan dan kemungkaran serta mengingati akhirat agar kita sedar tentang hakikat kehidupan ini. Akhir sekali marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21:
Maksudnya: Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.

ayat 6

No comments:

AF

Ucapan Dan Kad Raya Buat Amna