Ada isteri menuduh suaminya kedekut manakala suami pula menuduh isteri boros menggunakan wang suami. Kalau suami dan isteri saling melempar tuduhan bahawa pasangannya kedekut atau pemboros, siapa betul?
Masalah begini sering berlaku dalam rumah tangga sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam hubungan. Masing-masing menegakkan benang basah walaupun mengetahui sikap itu tidak disenangi pasangan.
Perlu diketahui bahawa di antara hak isteri yang paling utama ialah memberikannya nafkah. Menafkahi isteri adalah bentuk ibadah dan taqarub paling besar yang boleh dilakukan seorang hamba. Nafkah itu sendiri mencakupi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, dan segala yang diperlukan oleh isteri baik jasmaninya mahu pun rohaninya.
Namun masih ada isteri mengeluh kerana suami dianggap kurang dalam menafkahinya. Allah menegaskan dalam al-Quran bahawa lelakilah yang berkewajipan memenuhi keperluan wanita. Itu catatan pertama. Oleh sebab itu, lelaki juga memiliki hak kepemimpinan dan keutamaan dibandingkan wanita, kerana lelaki jugalah yang memberi nafkah kepada mereka, dalam bentuk mahar atau wang belanja. Allah berfirman:
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”
Banyak dalil-dalil daripada kitab, sunah yang sahih dan ulama yang menyebut mengenai wajibnya bentuk pemberian nafkah dan tanggungjawab itu terletak di bahu lelaki yang bergelar suami dan ayah.
Firman Allah : “…Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang maaruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya….”(Al-Baqarah : 233)
Demikian juga firman Nya:
“….dan apabila mereka (isteri-isteri yang ditalak) dalam keadaan hamil, berikanlah kepada mereka nafkah sehingga mereka bersalin…”(Ath-Thalaq : 6)
Seorang suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan keluarganya serta semua yang berada dalam tanggungannya, sebagaimana ditegaskan dalam hadis Jabir bin Abdullah r.a bahawa Nabi s.a.w menyatakan:“Bertakwalah kepada Allah dalam memelihara wanita, sesungguhnya mereka itu adalah tawanan bagi dirimu; kamu memiliki mereka dengan amanah kepada Allah dan kamu halalkan kemaluan mereka dengan kalimatullah, maka hak mereka atas dirimu adalah hendaknya kamu memberi mereka nafkah dan pakaian dengan cara yang baik.” (HR. Muslim VII : 183)
Dalam hadis Muawiyyah in Hidah disebutkan bahawa dia berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah: “Apa hak seorang isteri terhadap diri suaminya?” Baginda menjawab: “Hendaknya kamu memberi makan sebagaimana kamu makan, dan memberi pakaian sebagaimana kamu berpakaian, janganlah kamu menjelikkan wajahnya dan jangan kamu memukulnya.” (HR. Abu Dawud & Ibnu Majah)
Hadis ini menjelaskan bahawa memberi makan dan menyediakan pakaian adalah wajib. Dan kewajiban itu tentu tergantung kemampuan suami. Namun kerana Nabi s.a.w telah menjadikan itu sebagai hak isteri terhadap suaminya, maka adalah wajib hukumnya, ada ataupun tidak. Maksudnya, ketika suami tidak mampu memberikan nafkah kepada isterinya, nafkah itu menjadi hutang yang harus ditunaikan pada waktu lain sebagaimana kewajipan-kewajipan lain.
Dalam hadis Abu Hurairah diriwayatkan bahawa dia berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda, ‘Apabila seorang di antara kamu pergi dan mencari kayu bakar, lalu menjualnya, untuk mencukupi keperluannya kemudian dia sedekahkan, itu lebih baik daripada dia meminta kepada orang lain, diberi ataupun tidak. Kerana tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang dibawah. Namun mulailah daripada orang yang berhak engkau nafkahi’.” (HR. Muslim)
Para ulama bersepakat tentang wajibnya memberi nafkah kepada isteri bagi seorang suami, kalau mereka mampu, kecuali bagi isteri yang berbuat nista. Nabi pernah bersabda : “Apabila seorang Muslim memberikan nafkah kepada keluarganya, sementara ia menghisab diri, maka itu akan menjadi sedekah baginya.” (HR. Bukhari I : 136)
Menafkahi keluarga menurut ulama adalah wajib. Islam menyebutnya sebagai sedekah, kerana dikhuatirkan orang-orang akan menyangka bahawa dengan melakukan yang wajib itu, mereka tidak memperoleh pahala. Padahal mereka telah mengetahui pahala daripada amal sedekah, agar mereka tidak mengalihkannya kepada orang lain, sebelum mereka mencukupi keperluan keluarga. Maksudnya mendorong mereka agar mendahulukan sedekah yang wajib daripada sedekah sunnah.
Nabi bersabda : “Satu dinar yang engkau nafkahkan di jalan Allah, satu dinar yang engkau keluarkan untuk membebaskan budak, satu dinar yang engkau berikan kepada fakir miskin, dan satu dinar yang engkau berikan sebagai nafkah keluargamu; yang terbaik di antaranya adalah yang engkau berikan sebagai nafkah isterimu.” (HR. Muslim II :692)
Jadi seorang suami akan dianggap kedekut apabila dia melalaikan kewajipannya mencari nafkah, meskipun isterinya tidak pernah menuntut atau mempunyai hartanya sendiri. Selama suami mampu dan berkesempatan, dia wajib mencari nafkah demi anak dan isterinya. Bila tidak, dia disebut sebagai kedekut lebih-lebih lagi apabila suami itu mempunyai kemampuan tetapi kurang memperhatikan keperluan isteri dan anaknya. Sebaliknya dia menghambur-hamburkan hartanya di luar rumah untuk kesenangan peribadi.
Lain halnya bila suami belum mampu mencukupi keperluan keluarga, setelah dia berusaha mencari nafkah namun belum mendapatkan kesempatan memperoleh rezeki yang mencukupi. Atau dia mengawal pemberian kepada anak isterinya untuk tujuan bersama yang lebih utama. Seperti menyimpang wang untuk keperluan kecemasan, membiayai kos perubatan atau membeli peralatan dan keperluan rumah tangga yang hanya boleh dibeli dengan cara menyimpan sebahagian daripada pendapatan.