Kuala Lumpur: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sudah merakamkan 63,558 imej pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat di 14 lokasi panas sehingga 30 September lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Rahim Bakri, berkata semua imej dirakamkan kamera itu sedang dalam proses semakan dan pengesahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum saman dikeluarkan.
“Sejak dipasang 23 September lalu, semua imej dirakamkan bagi memantau keadaan trafik selain mengesan pemanduan laju dan pengguna yang melanggar lampu isyarat merah,” katanya menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) di Dewan Rakyat, semalam.

Belum keluar saman

Abd Rahim berkata, berikutan saman belum dikeluarkan, maka tiada hasil dikutip setakat ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai niat kerajaan menggunakan penyumberluaran untuk
pelaksanaan AES, beliau berkata, kerajaan mempunyai rasional tersendiri.
Teliti pelbagai model

Katanya, kerajaan sudah menimbang pelbagai model dan mendapati penyumberluaran adalah langkah terbaik kerana tidak perlu mengeluarkan modal bagi melaksanakannya, tetapi hanya membayar fi kepada syarikat yang dipilih secara tender terbuka,” katanya.