CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Besday

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers

^______^

03 February 2011

Gong Xi Fa Cai

Manfaatkan Tahun Baru Cina — oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

Tahun Baru Cina menjelang tiba. Malah, bahangnya begitu dirasai apabila limau mandarin diagih-agihkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tenang sehinggalah hari pengundian pada hari ini.
Ramai yang bertanya bolehkah umat Islam bersama-sama orang Cina menyambut Tahun Baru Cina? Saya ingin menegaskan di sini, boleh. Tidak timbul masalah selagi kita pandai menjaga batas-batas sebagai seorang Islam.
Tahun Baru Cina adalah perayaan budaya, tidak ada kena-mengena dengan agama. Malah digalakkan jika mahu menyambutnya demi dakwah, terutama saudara muslim Cina yang telah memeluk Islam.
Hari raya orang Cina adalah Tahun Baru Cina. Berbeza dengan Islam, tahun baru Islam dikenali sebagai tahun baru hijrah atau Maal Hijrah, tidak akan kaitan dengan hari raya. Manakala hari raya dalam Islam adalah Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. Dari segi signifikannya, sambutan hari raya lebih membawa banyak erti, kerana nasnya jelas, berbanding sambutan tahun baru.
Bagi orang Cina, tahun baru membawa signifikan yang cukup bermakna. Jika mahu melihat orang Cina berhenti bekerja atau cuti rehat, tahun baru akan menyaksikan segalanya. Selebihnya masa setahun digunakan untuk bekerja. Kerja keras tanpa kenal erti penat. Sikap sebegini perlu dicontohi oleh umat Islam, jika mahu dipandang hebat. Malangnya, ada yang hanya bekerja sehari, mahu hidup sebulan atau setahun, dengan menggunakan jalan pintas seperti mengambil rasuah.
Sebagai Cina Muslim, saya tidak ketinggalan, saban tahun ‘menyambut’ tahun baru bersama-sama ahli keluarga seperti ibu tercinta dan sanak saudara. Matlamatnya tidak lain, dakwah. Sambutan ini penting untuk menunjukkan bahawa apabila memeluk Islam, kita tidak menjadi ekstrem atau meninggalkan cara hidup lama yang tidak bertentangan dengan Islam.
Walaupun menjelang sambutan Tahun Baru Cina, ada upacara sembahyang. Itu hanya sebagai tanda ingatan kepada nenek moyang, tidak ada kaitan dengan agama. Sebagai Cina muslim, kami tidak campur tangan dalam upacara tersebut.
Pada saya, daripada menyambut tahun baru Masehi, lebih baik kita menyambut Tahun Baru Cina. Kerana impak dakwahnya lebih besar dan bertepatan dengan gagasan 1Malaysia. Lagipun cara sambutannya tidaklah seghairah menyambut tahun Masehi yang penuh dengan hiburan.
Tidak dinafikan bahawa tahun Masehi dijadikan tarikh utama di dalam kalendar masyarakat antarabangsa. Boleh menyambutnya jika tahu menjaga adab sopan. Apa yang menyedihkan, setiap tahun menjelang masuk tahun baru masehi, berbagai acara sambutan secara besar-besaran diadakan sehingga tidak menampakkan nilai keilmuan dan ketimuran.
Justeru, jika ada pilihan antara dua perayaan ini, saya lebih memilih untuk ‘menyambut’ Tahun Baru Cina kerana signifikan dakwahnya lebih besar serta menyumbang kepada matlamat gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.
Sebenarnya cara orang Islam dan orang Cina mengira atau menghitung hari atau tahun baru pendekatan yang hampir sama, walaupun cara sambutan berbeza. Kalendar Islam dan kalendar Cina disebut sebagai kalendar kamari (bulan) atau kalendar lunar, yakni berasaskan kepada peredaran bulan.
Perayaan Tahun Baru Cina lahir dari rasa takut dan mitos. Legenda berbicara tentang binatang liar bernama Nien (juga membawa makna "tahun") yang muncul di akhir setiap tahun di Tanah Besar China suatu ketika dahulu. Nien dikatakan bertindak menyerang dan membunuh penduduk kampung. Cara untuk menghalau dan menakut-nakutkan Nien adalah dengan menggunakan bunyi letupan (mercun) dan cahaya terang benderang (bunga api).
Kejayaan menewaskan Nien ini telah disambut sebagai permulaan kepada Tahun Baru Cina dengan mengambil kira nama 12 jenis binatang terpilih yang silih berganti setiap tahun. Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru.
Terdapat berbagai versi cerita bagaimana binatang ini dipilih. Antaranya, legenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Gautama Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi cuma 12 binatang sahaja berkumpul.
Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab.
Ada yang percaya mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut. Tahun ini pula jatuh pada tahun arnab.
Tidak perlulah saya huraikan sama ada tahun arnab membawa tuah atau tidak, kerana tidak semua mempercayainya, apatah kita sebagai umat Islam. Takdir, ajal maut, susah senang adalah di bawah qada dan qadar Allah. Kita hanya berusaha, Tuhan sahajalah yang menentukannya. Tetapi yakinlah, Allah tidak akan sia-siakan usaha orang yang ingin merubah hidup, tidak kira pada tahun apa sekalipun.
Namun, jika ada orang Cina percaya kepada untung nasib tahun binatang yang silih berganti itu maka hormatilah kepercayaan hidup mereka.
Makan besar
Bagi orang Cina, tahun baru melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Lantaran itu, permulaan tahun baru disambut pada waktu menjelang Maghrib (kalendar kamari) dengan makan besar atau reunion dinner sebagai tanda perjumpaan besar atau persaudaraan.
Makan tradisi akan dihidangkan seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut dan limau mandarin. Tidak ketinggalan yee sang dan kuih bakul. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian tradisi, yang menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina. Budaya ini telah diwarisi turun temurun.
Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan menghalau hantu dan perkara tidak baik. Ucapan Gong Xi Fa Cai atau Kiong Hi Huat Chai (Hokkien) lazim kedengaran maksud tahniah! Semoga bertambah atau dimurahkan rezeki.
Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah. Juga tidak dibenarkan menyapu sampah kerana ada yang percaya seolah-olah menolak rezeki atau menyapu rezeki keluar.
Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Budaya ini juga turut diikuti orang Melayu ketika menyambut hari raya dengan warna ang pau yang berbeza (hijau).
Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum. Namun, hari kesembilan (juga tahun baru bagi orang Hokkien) dan kelima belas atau Chap Goh Mei tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.
Islam tidak melarang menyambut perayaan budaya ini. Begitu juga memakan yee sang menggunakan sepit, dan makanan yang lain, selagi mana ia halal. Inilah universaliti Islam. Meniru atau mengikut budaya atau cara hidup orang lain tidak salah. Kerana kejadian berbangsa-bangsa ini adalah ciptaan Allah SWT. Selagi mana budaya tersebut tidak bercanggah dengan Islam, selagi itu kita boleh raikan. Termasuk menggantung lampu tanglung.
Jangan pula jika ada saudara kita Cina muslim yang menggantung lampu tanglung, kita tuduh mereka tidak Islamik kerana saya belum pernah melihat orang Arab berhari raya menggantung lampu pelita, lampu ketupat dan bulan bintang. Ini adalah hanya budaya bangsa Melayu. Budaya setiap bangsa saling berbeza.
Bangsa Arab ada identiti lampunya tersendiri dan cara menghiasi rumah. Sama juga dengan seni reka bentuk masjid yang berkubah dan tidak berkubah. Kita tidak boleh kata seni reka bentuk Pagoda tidak Islamik. Kerana seni bina kubah yang ada rata-rata pada masjid hari ini bukan seni bina Arab atau Islam tetapi seni bina Moorish-Indian. Justeru, di manakah seni bina Islam? Jawapannya, universaliti Islam menerima segala bentuk budaya dan seni reka selagi tidak bercanggah dengan asas Islam. Dengan sebab itu, Islam tidak ada lambang khusus yang menentukan kita Islamik atau tidak. Yang penting iman dan takwa. Lambang tidak penting seperti orang Yahudi.
Pendek kata, berbangsa-bangsa adalah ciptaan Allah SWT. Allah yang menjadi Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah Sarawak dan semua bangsa di dunia ini. Mereka ada cara hidup dan budaya sendiri. Tidak salah mengamalkan jika tidak keterlaluan atau bercanggah dengan Islam.
Cuma satu sahaja saya ingatkan supaya umat Islam tidak terlibat dalam hiburan melalaikan, walaupun tidak salah kita meraikan bersama atas semangat 1 Malaysia. Ini digambarkan oleh firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 51 yang bermaksud, "Orang-orang kafir itu ialah orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)".
Ingatan Allah SWT ini amat jelas supaya kita tidak melampaui batas. Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang dari kalangan mereka" (Riwayat Al-Imam Abu Daud).
Menyambut
Justeru, pada saya menyambut Tahun Baru Cina tidak salah, kerana ia adalah perayaan 1 Malaysia. Tetapi pandai-pandailah menjaga batas-batasnya. Sama juga menyambut Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban adalah ibadah. Tetapi jika cara kita sambut sehingga terkeluar dari norma-norma Islam, maka ibadah akan bertukar kepada padah. Pahala bertukar kepada dosa. Pendek kata, bukan soal perayaan itu yang menjadi masalah tetapi cara kita menyambut perayaan tersebut. Jika kita isi dengan hiburan yang melalaikan sudah tentu sambutan yang awalnya bersifat ibadah, tidak mendatangkan pahala lagi melainkan dosa dan musibah.
Akidah adalah perkara yang sangat penting dalam agama Islam yang mesti dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya oleh semua umat Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita janganlah terikut-ikut kepada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah kita. Kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT.
Kepada seluruh masyarakat Cina saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Cina, Gong Xi Fa Cai, maaf dipohon jika penulisan saya selama ini ada mengguris hati kalian.

No comments:

AF

Ucapan Dan Kad Raya Buat Amna